HUJAN


Pagi ini ketika meninggalkan rumah, hujan rintik sedang turun mengingatkan aku kepada satu janji kepada seseorang untuk menulis tentang hujan. Memang akhir-akhir ini hujan sering turun di waktu pagi ketika kami memulakan hari.

Hujan adalah satu rahmat yang diturunkan Allah untuk semua makhluk di bumi, setiap titisannya dipenuhi dengan keberkatan, kesuburan rezeki dan sumber kepada banyak kehidupan. Di dalam bidang ekologi, hujan adalah di antara faktor utama yang mempengaruhi ekologi sesebuah tempat, taburan hujan yang tinggi contohnya menjadikan Hutan Hujan Tropika memiliki diversiti kehidupan yang sangat tinggi, bayangkan satu kilometer persegi di dalam hutan hujan memilik diversiti yang berganda banyaknya berbanding seluruh Eropah. SubhanAllah aku rupanya dilahirkan di tempat yang memiliki berganda rahmat Allah. Begitupun kita sering bersungut tentang hujan.

“Hujan yang turun bagaikan mutiara” antara bait-bait indah lagu Allahyarham Sudirman bertajuk ‘Hujan’yang menceritakan tentang hujan dan analoginya dengan sebuah cinta. Hujan yang lebat bagai cinta yang tercurah; Bumi yang mesra dibasahi hujan umpama hati yang pasrah menerima cinta; namun seperti hujan, cinta datang dan pergi; kenangan cinta yang bersemi diwaktu hujan turun akan tetap diimbau terutamanya bila hujan turun.

Seperti pagi, hujan juga membawa sebuah harapan dan cabaran yang baru; setiap kali setelah hujan suasana akan terasa seolah baru dan segar, bumi seolah-olah lebih hijau, langit menjadi cerah dan bersih, sang katak pula sibuk ‘bernyanyi’ umpama berpesta dengan kerahmatan yang telah tiba, air di jeram menjadi deras dan menderu bunyinya. Begitupun cabaran baru mungkin tiba; penoreh getah tidak dapat menoreh, jeram yang indah bukan lagi tempat selamat untuk mandi-manda, banjir mungkin tiba sambil menghanyutkan harta malahan nyawa. Begitulah kerahmatan Allah, diberikan sama rata untuk setiap makhluknya, dan dugaaanya diberikan juga di waktu yang sama. Allahualam.


Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon