HATI

Hati adalah satu organ di dalam badan kita yang memainkan peranan penting di dalam sistem perkumuhan tubuh kita, kegagalan fungsi hati akan menyebabkan masalah yang serius kepada tubuh, fizikalnya kulit akan menjadi sembab dan kekuningan sama seperti bayi yang menghidap demam kuning (jaundice) kerana hatinya belum berfungsi dengan baik.

Aku pernah terbaca yang walaupun hati kita sakit, kita tidak dapat merasakan kesakitan di organ tersebut kerana jika hati mempunyai deria sakit, kita mungkin akan sentiasa merasa sakit. Lucunya jika fakta ini dikaitkan dengan 'sakit hati' di dalam kiasan bahasa melayu, rupa hakikatnya hati kita sebenarnya tidak boleh sakit; maka dari mana datangnya rasa ‘sakit hati’ tersebut.

Teringat pula hadis yang mengatakan bahawa di dalam badan kita ini ada seketul daging, jika baik ianya maka eloklah seluruh anggota badan yang lainnya tetapi sebaliknya juga jika ianya buruk. Hadis ini merujuk kepada ‘hati’ bukan sebagai sebuah ‘organ’ tetapi sebagai kiasan kepada ‘keimanan dan keikhlasan’ yang mengawal seluruh gerak geri dan perilaku manusia. Hati juga harus diimbangi dengan otak (akal) kerana ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.

Secara grafik, hati selalu digambarkan sebagai jantung yang juga menggambarkan ‘sayang’ dan ‘cinta’; mungkin kerana translasi kepada ‘heart’ di dalam Bahasa Melayu adalah ‘hati’ bagi maksud tersirat dan bukannya 'jantung'. Memang lain maksudnya jika ‘Sweetheart’ ditranslasikan sebagai ‘Hati Manis’ dan bukannya ‘Buah Hati’; ‘Heart feeling’ sebagai ‘rasa jantung’ dan bukannya ‘rasa hati’.

Begitu sedikit yang aku paham dan terkadang tersasar pengetahuan aku tentang hati. Maka ‘menjaga hati’ tentulah amat sukar kerana jika tidak ‘hati-hati’, orang lain mungkin ada yang akan ‘sakit hati’, 'kecil hati' atau ‘makan hati’. Apa yang boleh kita lakukan adalah 'menguatkan hati', menjaga ‘hati budi’ dan akal pekerti agar kehidupan kita dapat menikmati ‘ketenangan hati’. Amin. Allahhualam.

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon