Membaca tanpa 'membaca'
Assalamualaikum buat pembuka bicara. Selawat serta salam ke atas Nabi bagi Tuhan untuk sekelian alam.
Pagi ini aku 'terdampar' semula di pantai pulau 'idea picisan'. Sebuah blog yang aku tinggalkan hampir sepuluh tahun. Seronok dapat menelusuri penulisan dan pemikiran picisan aku hampir sedekad yang lalu, sehingga terkadang aku sendiri tidak faham dan termanggu dari mana dan kenapa aku berfikiran sedemikan ketika itu.
Kenapa aku berhenti dari menulis idea picisan? juga satu misteri yang aku sendiri tidak dapat memanggil kembali sebab musababnya. Mungkin alasan biasa, kesibukan kerja atau alasan yang paling munasabah, "tidak banyak membaca".
Ketika tulisan ini sedang disediakan, Malaysia berada di ambang Pilihanraya Umum ke 14. Di sana sini orang sibuk berbicara politik tentang si anu dan si polan, isu di situ dan di sini selain perdebatan kenapa begitu dan bukan begini. Aku pula, Alhamdulillah diberikan sedikit kelapangan masa untuk 'membaca' sedikit di dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja. Begitupun sebenarnya aku bukan secara fizikalnya 'membaca'.
Ada sedikit perubahan dalam cara aku 'membaca' kini kerana aku kini lebih kerap mendengar 'audiobook' berbanding membaca secara fizikal. Aku akui pengalamannya agak berbeza namun aku yakin ianya lebih baik dari tidak 'membaca' langsung dan itulah yang terdaya di'baca' buat masa ini kerana aku terpaksa memandu ke tempat kerja. Kali ini aku cuba mengubah tabiat (habit) aku dalam membaca. Kebetulan aku banyak membaca tentang mengubah tabiat manusia baru-baru ini. Mungkin dalam kesempatan yang lain aku akan kongsikan pengalaman mengubah tabiat membacaku.
Aku benar-benar berharap Allah memberikan kekuatan untukku beristiqamah di dalam usaha merakamkan pengalaman dan meluahkan pandangan aku terhadap persekitaran dan diriku sendiri. Di harap ianya akan bermanafaat terhadap sesiapapun yang sudi singgah di pulau 'idea picisan'ku ini.

Comments