Impak..ku
Di dalam studio senibina; aku sering mengingatkan pelajarku tentang kesan sebuah garisan kepada masyarakat yang ada di tapak sebenar. Sebuah garisan boleh menghilangkan rumah seorang anak yatim, menjadikan hidupnya lebih melarat; dan seorang arkitek harus bertanggungjawab ke atas kesan garisan tersebut dan mugkin dipersoalkan di akhirat kelak.Di dalam setiap apa yang kita lakukan, kita harus sedar akan kesan atau hasil dari perlakuan tersebut. Kerana itu sebelum kita melakukan sesuatu kita harus merancang serta membetulkan niat. Ramai yang kurang menjadi hasilnya; bila perancangannya kurang teliti atau niatnya terpesong didalam melakukan perlaksanaan sesebuah kerja (malah sesebuah ibadah sekalipun). Maka terserlahlah hubungkait antara NIAT, LAKU dan HASIL.
Apa yang ingin aku perkatakan hari ini adalah kepanjangan kepada hubungan NIAT, LAKU dan HASIL tersebut iaitu IMPAK atau KESAN dari 3 komponen dari rantaian tersebut. Ianya bukan idea yang baru kerana ianya telah banyak digunakan bagi mengukur keberkesanan sesebuah hasilkerja, perlu diingat banyak hasilkerja yang kecil mempunyai impak yang sangat besar; tulisan Jose Rizal mungkin hanya sebuah buku namun impaknya besar sehingga menamatkan penjajahan Sepanyol; buku tulisan Tom Paine begitu besar impaknya sehingga terbentuknya United States of Amerika; kitab-kitab Allah juga mungkin sedikit sahaja dari segi jumlah mukasuratnya (berbanding buku lain) namun impaknya terbukti melangkaui sempadan dunia dan masa.
Namun impak yang besar semata-mata bukanlah ukuran yang betul; sesebuah impak juga harus dinilai, kerana ada impak yang besar namun membawa banyak kemudaratan, ada impak yang kecil dan membawa sedikit kebaikan, yang manakah yang harus dipilih?; bagaimana pula untuk impak yang membawa kebaikan dan juga kemudaratan di dalam waktu yang sama?
Jika diteruskan perbincangan di atas mungkin tulisan ini tidak akan membawa aku ke mana-mana. Aku cuma ingin menilai kembali sebesar manakah aku telah memberi impak; terhadap pelajar-pelajarku? tempat kerjaku? keluargaku? bangsaku? agamaku? dan aku perlu bertanggungjawab di atas nilai baik atau buruk impak-impak tersebut. Ya Allah! berikan aku kekuatan dan petujuk agar aku dapat membawa impak yang baik dan ampunkan aku jika impak yang buruk telah aku hasilkan....Astaghfirullah alazim…sesungguhya Kau maha mengetahui dan menilai kami dengan tepat serta adil, biarpun sebesar zahrahpun kebajikan atau keburukan yang kami lakukan.
Comments