Manusia Luar Biasa

Manusia Luar Biasa

Petang tadi aku menonton sebuah kisah menarik karya Stephen King, Heart in Atlantis; kisah pengalaman seorang kanak-kanak (Bobby) bertemu dan mengalami pelbagai pengalaman hidup bersama Ted (lakonan Anthony Hopkins) yang merupakan seorang psikitari di dalam pelarian dari sebuah agensi rahsia kerajaan Amerika. Pertemuan yang singkat tersebut menyedarkan Bobby tentang banyak pekara di dalam hidupnya kerana Ted adalah seorang manusia 'luar biasa' di dalam pelbagai pekara.

Rasanya mungkin aku tidak pernah menemui seorang manusia sehebat Ted, tetapi ada ramai manusia yang aku temui memberikan impaks di dalam hidupku sehebat kesan Ted keatas Bobby. Di antara manusia tersebut adalah guru lukisanku di tingkatan dua; Cikgu Mansor Ghazali. Pertemuan kami hanya lebih kurang setahun (sepanjang aku di tingkatan dua di SDBL) tetapi impaksnya mungkin sehingga sepanjang hidupku.

Ketika di tingkatan dua, kami diminta memilih samada mengambil subjek Lukisan atau Agama Islam sebelum menduduki Sijil Rendah Pelajaran(SRP). Banyak tekanan yang mendesak aku mengambil subjek Agama Islam:

" Kita kan orang Islam, baiklah ambil subjek agama", antara kata kata senior asramaku bila aku ajukan persoalan yang menjadi dilema hidupku ketika itu.
"Lagipun kita kan dah belajar agama di sekolah agama, jadi senang sedikit nak score subjek ni" ,nasihatnya lagi mengingatkan aku tentang sekolah agama Johor yang telah aku hadiri sepanjang 5 tahun lepas. Sekolah agama di Johor memang agak teratur dan formal, hampir semua pelajar Islam di Johor pernah bersekolah agama.

"Subjek lukisan ni sebenarnya penting", ujar Cikgu Mansor pula.
"Anak saya belajar di Australia, terpaksa mengambil subjek lukisan selama setahun sebelum dibenarkan mengambil jurusan Senibina", sambungnya lagi. Aku tak pernah terfikir ketika itu dan beberapa tahun selepas itu bahawa mengikut nasihat Cikgu Mansor membawa aku ke sebuah sekolah Senibina.

Ketika di STJ, tiada guru lukisan untuk pelajar SPM jadi kami tiada langsung subjek lukisan; selama 2 tahun di sana aku hampir tidak melukis langsung, malah ketika mengikut Matrik aku terus tidak melukis. Aku tidak terfikir langsung bahawa aku akan melukis lagi ketika itu sehinggalah ketika di akhir pengajian Matrik kami diminta memilih jurusan pilihan. Aku dalam was-was meletakkan sekolah pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) sebagai pilihan pertama, Pengajian Medikal kedua dan Sains Komputer ketiga. Aku meletakkan Medikal sebagai pilihan kedua kerana ianya bidang paling dihajati oleh kebanyakan rakanku dan ada pepatah di kalangan pelajar kombinasi Bio-Fizik " Budak Bio-Fizik memang Kamikaze; kalau tak dapat medik, pergi oversea"kerana pelajar Bio-Fizik mudah mendapat merit yang tinggi (Kimia adalah subjek tersusah namun diperlukan oleh kebanyakan pengajian lain).

Akhirnya sebuah nasihat yang ringkas membawa aku mempelajari Senibina. Aku merasakan bahawa terdapat ramai orang yang sebenarnya kita rasakan biasa memberi impaks 'luar biasa' di dalam kehidupan kita.

Cikgu Mansor sebenarnya bukan 'orang biasa', dia seorang pelukis cat air terkenal di tanah air, pernah belajar lukisan di Eropah (kalau tak silap aku di Jerman), seorang tokoh guru negeri Johor, boleh bermain biola dan bersusur galur orang kenamaan di Perak. Kali terakhir aku mendengar kisahnya di dalam sebuah sketsa Maal Hijrah di TV3; mengisahkan keazamannya untuk mempelajari bahasa arab sebagai usaha untuk lebih memahami Al-Quran.

Aku rasa setiap orang mempunyai seorang manusia 'luar biasa' di dalam hidupnya.

Comments

Unknown said…
Untuk rekod...Cikgu Mansor Ghazali telah pulang kerahmatullah pada tahun 2008, sehari sebelum pameran solo beliau.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..Alfatihah.

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon