Aku Manusia KEJAM?

Ketika ini seperti kebiasaan di setiap kesudahan semester, aku sedang sibuk memberi markah untuk pelajar-pelajarku. Aku teringat tentang artikel yang baru aku baca tak lama dahulu, tentang 'Milgram Studies' yang di lakukan oleh Milgram, seorang penyelidik psikologi di Yale.

Dalam eksperimen itu, dia telah meminta orang-orang dari pelbagai latarbelakang yang dipilh secara rambang untuk menyertai eksperimen beliau. Orang-orang tadi diberi sehelai 'kot putih' dan diminta menjadi 'guru'. Mereka diberikan satu set soalan yang perlu ditanya kepada 'pelajar'(seorang pelakon). Jika subjek gagal menjawab soalan, penyoal akan menghukum dengan renjatan elektrik. Terdapat variasi kekuatan renjatan elektrik; paling rendah dilabel dengan '(15V) :renjatan lemah' dan paling tinggi dilabel dengan'(450V) BAHAYA: Renjatan yang amat kuat'. Renjatan diberikan untuk setiap jawapan yang salah namun kekuatan renjatan diberikan menurut pertimbangan 'guru'.

'Pelajar' akan memberikan jawapan yang salah di beberapa soalan memaksa 'guru' memberikan renjatan; untuk renjatan sekuat 180V, dia akan menjerit kesakitan dan memohon simpati; pada kekuatan 330 V, dia akan mula 'diam' seolah-olah pengsan.

Hasilnya amat memeranjatkan kerana 65 peratus 'guru' akan memberikan renjatan tertinggi (450V) biarpun diberitahu yang 'pelajar'nya mengalami sedikit masalah jantung.

Eksperimen ini telah dilakukan di banyak negara dan jawapanya lebih kurang sama sahaja, membuatkan kesimpulannya terpakai kepada ramai orang iaitu;
"Jika diberikan kuasa, sesiapa sahaja dan mungkin kita akan menjadi kejam'

Kembali kepada persoalan memberi markah pelajar, potensi untuk aku menjadi 'kejam' memang ada kerana dalam memberi markah kadang kala kita dipengaruhi oleh emosi dan 'kekuasaan' selain atas kepentingan diri sendiri. Aku ingin meminta maaf kepada pelajarku jika aku ini 'kejam'.

Aku juga mungkin 'kejam' terhadap anak-anak aku, manalah tahu aku memberikan hukuman yang lebih untuk kesalahan yang sedikit, atau kesalahan tersebut tidak patut dihukum berbanding dengan umur mereka. Pernah sekali aku menghukum anak aku kerana lambat 'mengira' sedangkan dia memang tidak faham pun konsep matematik tersebut, biarpun konsepnya terlalu mudah bagi aku. Aku 'kejam' kerana mengukur anak aku dengan 'pembaris diriku' dan menghukum dia mungkin dengan 'pembaris' yang salah. Kalau satu hari nanti anakku membaca tulisan ini, maafkanlah Ayah.

Hanya tuhan yang maha tahu dan Dia tidak mungkin kejam sifatnya.

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon