Dalam penulisan yang lepas aku berjanji untuk cuba menerangkan tentang apa yang aku cuba fahami tentang falsafah 'deconstruction' Derrida; oleh kerana kecetakan pengetahunku tentang kesusteraan maka aku memilih untuk membincangkannya dari perspektif senibina/arkitektur.

Di dalam konteks Senibina; idea Derrida menjadi hangat diperkatakan dan menjadi satu gaya aliran senibina sejak ianya digunakan oleh beberapa arkitek terkenal seperti Peter Einsemen, Frank Gehry dan Bernard Tschumi. Idea Derrida telah cuba diterjemahkan menjadi senibina oleh Bernard Tschumi di dalam penghasilan Parc de la villette (mungkin hasil realisasi deconstruction terbesar setakat ini). Di peringkat awal, Derrida agak ragu kenapa senibina berminat dengan 'deconstruction' yang anti-bentuk (form), anti-struktur(structure) dan anti-hieraki (hierarcy); sesuatu yang bertentangan dengan prinsip asas senibina' namun itulah yang secara tepat diinginkan oleh Tschumi.

Tsuchmi pula berminat untuk mencari alat untuk memerhatikan apakah [1]'limit'/had arkitektur dan juga [2]permasalahan 'disjunction'/ketidaktemuan guna(use), bentuk (form) dan nilai sosial. Pendekatan Tschumi di Parc de la Villette agak mengejutkan kerana beliau seolah-olah mencabar hampir kesemua prinsip asas senibina. Bentuk dan susunan tidak ditentukan berdasarkan fungsi lagi, malahan kebanyakan struktur (yang dipanggil 'follies') dan laluan tidak mempunyai fungsi tertentu (mungkin sebagai akspresi kepada idea 'disjunction') di mana ketidaktemuan use, form dan nilai sosial menjadi satu cara mencari penyelesaian kepada masalah 'disjunction'/ketidaktemuan itu sendiri. Tiga lapisan yang berasaskan titik(points), garisan (line) dan permukan (surface/plane) diletakkan secara bertindih dengan tidak menetapkan hubungan di antara ketiga-tiganya (amalan yang sukar diterima 'rasional') menghasilkan sesuatu yang mencabar nilai tentang apa yang kita anggap 'rasional'.

Aku yakin ramai yang akan mengatakan apa yang aku tulis di dalam paragraf sebelum ini sukar difahami; aku setuju kerana seperti yang aku katakan dahulu pandangan dan pendekatan Derrida memang sukar difahami. Bagiku ianya sukar kerana kita dihadkan dengan 'bahasa' dan 'konsep' di dalam memahami sesuatu; satu lagi pekara yang boleh dibincangkan secara panjang lebar; maka disini aku cuba jelaskan dengan pemecahan 'konsep' dan perkataan ('bahasa') semoga idea tersebut lebih mudah difahami; satu pendekatan 'dekonstrusi' yang sebenarnya tidak begitu 'dekonstruktif':

Masalah: ketidaktemuan [1] use, [2] form dan [3] social value.
Pendekatan Penyelesaian : gunakan ketidaktemuan sebagai penyelesaian; jangan cuba mencari titik pertemuan di antara ketiga-tiganya kerana ianya mustahil dan telah terlalu lama dicari maka jangan terus dicari.
Cara/Laku:Point, Line dan Plane digunakan (biasa dilakukan) tetapi digunakan tanpa memikirkan perkaitan diantaranya (jarang dilakukan)
Rasional Perlakuan: penyelerasan Point, Line dan Plane adalah dasar kepada masalah ketidaktemuan use, form dan social value, contohnya di dalam membina laluan boulevard (berbentuk line) kita biasanya menyambungkan dua atau lebih ruang utama seperti piazza dan asteriks (points) dan ruang-ruang lain (bangunan dan aktiviti) disusun disepanjang laluan tersebut; tetapi di manakah nilai sosial dipertimbangkan bila penekanan ini diletakkan pada point, line dan plane? Dalam kebanyakan masa kita lebih memikirkan masalah hubungkait ketiga-tiga elemen tadi dan megenepikan pekara yang lebih penting. Aturkan benda dan pekara 'biasa' secara 'luar biasa'.
Hasil/Produk: Pengabaian hubungkait/titiktemu membolehkan kita mencabar 'limit' akitektur itu sendiri, jika selama ini 'fungsi' menjadi penentu kepada bentuk (form) kenapa tidak form mengilhamkan 'fungsi'. Ada di antara follie yang dihasilkan tanpa sebarang fungsi spesifik mengilhamkan idea untuk digunakan bagi sebuah fungsi spesifik (seperti kafe dan kedai buku). Banyak penemuan baru yang tidak dirancang berlaku dan dibangunkan berdasarkan pemerhatian dari perspektif baru. Nilai sosial 'dipulangkan' kepada masyarakat untuk ditentukan mengikut kehendak dan keperluan mereka bukan ditentukan oleh akitek lagi.
Tschumi menganggap Parc de la Villette bukan sebagai sebuah taman, tetapi sebagai 'satu bangunan yang tidak bersambung'; perhatikan konsep yang mencabar idea 'satu bangunan' yang rasionalnya mestilah 'bersambung' dicabar; bolehkah bangunan-bangunan yang tidak bersambung itu menjadi satu bangunan? Jelasnya Tschumi cuba mencari 'limit' baru arkitektur.

Sebenarnya penerangan aku tadi di'bendung' oleh konsep dan bahasa yang aku fahami. Segalanya seolah permainan kata-kata yang juga mejadikan kita terikat dengan 'bahasa' di dalam mencari kebenaran. Tidak adakah konsep diluar konsep yang kita fahami dan ketahui atau bukan spesifiknya 'konsep' tetapi berperanan lebih baik dari 'konsep' dalam membuka pandangan kita tentang kebenaran. Bolehkan idea yang lebih baik kita hasilkan dan terangkan tanpa struktur bahasa seperti yang biasa dikatakan dan ditulis ? Inilah yang cuba dicari oleh Derrida (mengikut apa yang aku fahami).

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon