Homo Sapiens dan Ilmu

Manusia yang nama saintifiknya 'homo sapiens' adalah dikategorikan sebagai sejenis "binatang" yang berfikir. Terdapat sebuah statue yang terkenal berjudul 'thinking man' di Eropah. Manusia memang sentiasa berfikir, sejak lahir sehinggalah 'mati' manusia perlu berfikir tentang pelbagai benda dan pekara; dari masalah bagaimana hendak memberitahu ibunya yang ia lapar sehinggalah di mana jasadnya perlu disemadikan.

Hubungan berfikir dengan ilmu adalah teramat rapat, kebanyakan orang boleh [1]berfikir tanpa ilmu, [2]ramai orang boleh berfikir menggunakan ilmu tetapi sedikit orang yang [3]berfikir untuk meneroka/mencari ilmu.

BERFIKIR TANPA ILMU; berfikir memang kebolehan semulajadi dan fitrah manusia, semenjak manusia diciptakan Allah telah mengajarkannya tentang pelbagai benda maka manusia memang dijadikan untuk memiliki ilmu. Yang aku maksudkan 'berfikir tanpa ilmu' itu adalah berfikir untuk menyelesaikan masalah naluri seperti 'aku lapar','aku mahu tidur', 'aku sakit'; mungkin lebih mudah dijelaskan sebagai segala kebolehan yang kita perolehi tanpa diajar (juga kebolehan yang dapat dilihat pada binatang).

BERFIKIR MENGGUNAKAN ILMU; bagi mengatasi masalah yang dihadapi di dalam berfikir tanpa ilmu manusia mula menggunakan ilmu; 'aku lapar' maka 'aku perlu makan' maka 'aku perlu mencari makanan', tindakan seterusnya akan bermula dari kesedaran yang dicetuskan dari berfikir tanpa ilmu tadi. Ilmu yang digunakan mungkin sedikit sahaja tapi ianya tetap ilmu. Contohnya;'aku perlu makan sebelum lapar' mungkin idea yang lahir sebagai salah satu rantaian dari pemikiran yang tercetus tadi. Ilmu yang digunakan hanyalah dari kesedaran hasil pengalaman lalu ketika lapar. Ini adalah bentuk ilmu yang boleh diterokai sendiri tanpa perlu diajar. Disinilah lahirnya konsep 'behaviorist' yang mengkaji tingkahlaku manusia berdasarkan tingkahlaku sifat 'kehaiwanan' yang bertindakbalas bagi memenuhi keperluan nalurinya.

Diperingkat lebih tinggi lagi, terutamanya di dalam pendidikan formal, kita diajar tentang pelbagai ilmu bagai mengatasi masalah di dalam kehidupan kita; banyak ilmu yang boleh diperolehi melalui pengalaman sendiri, namun banyak ilmu yang perlu diketahui sebelum melalui pengalaman itu sendiri; untuk mengetahui samada 'asid boleh membunuh jika diminum' kita perlu diajar dan bukan melalui pengalaman itu sendiri. Pendidikan formal dan ilmu yang diajar membolehkan kita berfikir secara lebih efektif dan bertindak dengan lebih efisien. Bagaimanpun ilmu tidak akan berkembang pesat jika kita setakat menggunakan ilmu ditahap ini, kita perlu berfikir untuk meneroka ilmu.

BERFIKIR UNTUK MENEROKA ILMU; oleh kerana banyaknya pengetahuan yang dikumpulkan dan diajar, ramai yang mungkin terlupa tentang pentingnya penerokaan baru; ianya seumpama manusia zaman dahulu yang beranggapan bahawa terdapat 'hujung dunia' maka manusia tidak harus berlayar jauh, takut terjatuh di hujung dunia, biarpun belum pernah seorang manusiapun menemui hujung dunia. Memang sedikit orang yang berfikir untuk meneroka ilmu; sekarang ini kerja-kerja sebegini didukung oleh kebanyakan ahli sains dan bertunjangkan ilmu sains. Banyak bidang yang telah 'mati' kerana tidak diteruskan penerokaanya seperti 'ilmu horoskop' dan 'ilmu silat'.

Banyak yang kita nikmati hari ini adalah hasil penerokaan ilmu; di dalam proses penerokaan ilmu banyak penemuan sampingan atau tidak disengajakan ditemui. Mungkin kita perlu berbalik dan bertanyakan diri kita tentang persoalan asas tentang ilmu; Apa yang ingin kita ketahui?, Bagaimana kita memperolehi pengetahuan tersebut? dan Kenapa pengetahuan itu akan menjadi berguna untuk manusia?

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon