Tandas Awam

Semalam, Fairus pelajar tahun dua B.Arch memberitahuku tentang pertandingan merekabentuk tandas awam di dalam suratkhabar. Aku agak gembira dengan sikapnya kerana ianya petunjuk keprihatinan pelajarku terhadap keadaan semasa, aku tahu ramai pelajar kini sangat kurang membaca apalagi memberi perhatian atau mengikuti perkembangan isu semasa.

Beberapa semester lepas aku beberapa kali bertanya di dalam kelas tentang isu semasa, ramai yang tidak menunjukkan minat dan tidak sedarpun ianya berkaitan dengan bidang senibina. Masalah 'seks di tepi tangga' contohnya, jarang dilihat oleh pelajar sebagai sesuatu yang berkaitan dengan senibina, biarpun 'tangga' jelas satu elemen senibina. Apakah ia bukan satu masalah bagi komuniti perekabentuk? perlukah kita menukar rekabentuk tangga 'fire-escape' agar masalah sosial sejijik begitu tidak berulang lagi? atau sekurang-kurangnya adakah rekabentuk yang lebih baik? sepatutnya hadir di minda kita.

Merekabentuk tandas awam memang satu cabaran yang besar, mungkin ramai yang setuju dan tidak setuju dengan kenyataan sebegini. Ramai yang akan mengatakan membazirkan masa membincangkan rekabentuk tandas seperti 'membesarkan yang remeh'. Hakikatnya tandas adalah antara ruang yang paling kerap digunakan secara konsisten, malah tandas banyak menggambarkan gaya hidup penggunanya. Penyelengaraan ruang tandas mungkin yang paling susah dilaksanakan secara psikologi dan fizikalnya.

Pernah satu masa, En Haidar Kassim pensyarahku di USM menyatakan rasa hormatnya kepada 'tukang cuci tandas' kerana sumbangan besar mereka di dalam menentukan keselesaan semua. Biarpun nampak kerjanya 'kotor' namun sebenarnya merekalah yang menyelamatkan kita dan menyembunyikan kita dari sikap kita yang 'lebih pengotor'. Tanpa mereka sikap pengotor kita semua pasti terserlah kepada umum, jadi sebenarnya mereka itu lebih bersikap 'hygenic' daripada kita.

Ada banyak betulnya kata En Haidar itu kerana kita menggunakan tandas dan mengotorkanya tanpa menganggap tandas itu milik kita (awam), tetapi para pencuci inilah yang menyelamatkan kita kerana mereka membersihkan tandas seperti tandas itu milik mereka dan yang mendapat nama adalah kita (komuniti universiti), maka rasa hormat yang tinggi sepatutnya milik para pencuci tandas.

Banyak isu tentang tandas awam yang hadir di kotak kepalaku selain isu kebersihan; antaranya mengubah 'mindset' pengguna tandas, kecurian/jenayah, penyelengaraan yang tinggi, budaya dan agama masyarakat Malaysia, 'accessibility' untuk orang cacat dan sistem bekalan air serta pembentungan. Semuanya perlu diteliti dan diambil perhatian oleh seorang perekabantuk di dalam menangani masalah ini.

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon