Baca dan Tulis

Menulis memang satu kerja yang rumit bagi kebanyakan orang, mungkin kalau ditanya berapa banyakkah kita menulis setahun jumlahnya pasti jauh lebih sedikit berbanding jumlah yang kita baca....dan perlu diingatkan jumlah yang kita baca juga memang sedikit berbanding dengan masyarakat yang lebih maju.

Sebenarnya perkaitan diantara menulis dan membaca memang rapat; kebanyakan penulis adalah pembaca yang konsisten dan kritis. Saya selalu memerhatikan penulis kolum di akhbar, mereka selalunya adalah pembaca yang efektif dan sensitif terhadap isu serta keadaan semasa. Membaca kolumn bagi saya adalah satu cara lebih mudah untuk menilai sesuatu isu kerana kesemua data yang telah dikumpul mereka telah digarap dan disintesiskan menjadi satu cerita yang mudah difahami dan diingati, cuma kita juga perlu meluaskan perspektif ketika membaca jika kita tidak ingin terlalu menerima bulat-bulat perspektif kolumnis tersebut.

Aku sering kali terpaksa bercerita kepada anak-anakku sebelum mereka tidur, tetapi oleh kerana terlalu kerap bercerita maka aku kehabisan cerita, hampir semua cerita yang aku tahu telah diceritakan maka aku terpaksa membeli sebuah buku cerita tebal (366 cerita; 1 hari 1 cerita). Buku cerita tersebut terpaksa aku baca dahulu sebelum kuceritakan kepada mereka kerana ceritanya di dalam bahasa Inggeris dan sebelum tidur lampu bilik biasanya dipadamkan. Hakikatnya menulis adalah hampir sama seperti bercerita; kita jarang bercerita kalau kita tidak ada cerita yang hendak disampaikan. Untuk bercerita pula kita memerlukan pokok idea, maklumat dan data-data agar ceritanya sampai kepada audien, logik, menarik dan bermanafaat.

Adik iparku, Al Azzhari adalah seorang penulis novel di samping menjadi guru di sekolah menengah. Novel terbarunya 'Abaka: Kemelut, Kesengsaraan dan Harapan' baru dilancarkan bulan lepas. Ceritanya disusun di dalam bentuk kronologi secara 'flashback', menceritakan kisah hidupnya di sebuah kampung pendalaman yang terpinggir dari kemajuan sehingga kini dia terpaksa meninggalkan kampungnya untuk memajukan diri agar dapat membangunkan kampungnya satu hari nanti. Ianya adalah adaptasi kepada kisah hidupnya yang sebenar dan diolah menjadi novel. Ramai orang mungkin mempunyai kisah hidup sebegini tapi berapa orangkah yang sanggup menulisnya menjadi tatapan pembaca kini dan masa hadapan.

Mungkin penulis perlu menjadi pembaca yang mampu 'lebih' membaca dan bercerita dari orang lain. Maksudku 'lebih' dari orang lain adalah membaca dan memerhati persekitaran secara lebih mendalam. Apa yang berlaku itu tidak dilihat dari kejadiannya sahaja tapi apakah sebab-musababnya, implikasinya dan mungkin cara penyelesainya; itupun dinamakan 'membaca' juga bukan setakat menatapi susunan huruf di atas kertas. Penyampaian penulis pula perlu lebih berkesan dan mengesankan. Aku benar-benar berharap aku mempunyai kekuatan sebegitu satu hari nanti. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon