Pembawa Cahaya di dalam Kegelapan

Assalmualaikum,

Selawat serta salam ke atas nabi junjungan nabi Muhammad saw. Semoga Allah memudahkan apa yang ingin aku rakamkan dan sampaikan di dalam penulisan idea picisan yang telah terlalu lama aku pinggirkan ini. Penulisan picisan sebagai ingatan dan rakaman pelbagai pekara yang pernah menyentuh rasa dan fikiranku selama ini.

Tiba-tiba aku terpanggil untuk merenung peranan dan matlamat kerjaya utamaku selama ini. Berserta sedikit pembacaan (terutamanya dari buku Dr. Aidh: "Bacalah atas nama Tuhanmu") dan carian internet, semungkinnya aku cuba catatkan di sini.

Di dalam kehidupan kita ini kita sudah pasti menemui ramai insan yang bernama guru. Insan-insan mulia yang mencurah bakti menyampaikan ilmu dan mengubah kita menjadi insan yang Insyallah lebih berguna dari masa ke semasa. Layaklah erti perkataan 'guru' sebagai kata nama di dalam bahasa sanskrit adalah:

Pembawa Cahaya di dalam Kegelapan

Sebagai kata sifat pula 'guru' bermaksud "berat/sarat" (dengan ilmu). Begitulah besarnya makna dan hakikatnya sebuah gelaran yang diberikan kepada insan-insan tersebut.

Sayangnya kita sering terlupa akan sumbangan insan-insan ini, mungkin kerana dunia pendidikan menjadi semakin komersil maka kita rasa kita telah 'membayar' untuk mendapatkan ilmu tersebut.

Di satu sudut lain pula ramai guru yang merasakan mereka perlu 'dibayar' dengan setimpal untuk ilmu yang disampaikan. Inilah agaknya kelemahan 'pemperdagangan ilmu' namun oleh kerana ianya sebuah bentuk perniagaan yang baik maka kita harus untuk meneruskannya.

Barangkali kita harus diingatkan kembali tujuan pendidikan yang asal, bukannya mengejar pengetahuan, kemahiran,sijil, wang dan gelaran semata-mata, namun jauh lebih murni dari itu; malahan ilmu adalah satu jalan untuk kita mengenal tuhan dan petunjuk ke arah syurga selain memakmurkan kehidupan manusia di dunia ini.

SubhanAllah, tidak tercapai dengan kata-kata apa yang ilmu mampu berikan kepada kita. Maha Suci Allah yang mengurniakan kita dengan ilmu, namun kita sering lupa dengan nikmat dan peringatanNya.

Jika direnungkan, peranan guru sebagai pendidik jauh lebih besar dari 'seorang pembawa cahaya', maka kita sering terdengar pula gelaran 'mualim' dan 'murabbi'.

Mualim bermaksud 'petunjuk jalan' (dalam bahasa melayu terdapat gelaran 'malim'), maka guru berperanan menunjukkan jalan ke arah yang lebih baik bukan sebagai penyampai ilmu (pembawa cahaya) semata-mata, SubhanAllah begitu besarnya peranan yang kau berikan ke atas hambamu yang lemah ini.

Istilah 'murabbi' menjadikan segalanya terlalu besar untuk ditanggung, (mungkin aku patut mengulasnya di dalam penulisan berserta rujukan yang lebih intensif) lebih kurang bermaksud sebagai:
perwakilan Allah


Terlalu kerdil rasanya ya Allah untuk aku menanggung tanggungjawab ini dan memakai nama sedemikian, begitupun Insyallah akan aku cuba sedaya mampu (juga atas kurniaan kekuatan dan keredahaanMu) untuk melaksanakanya.

Comments

Popular posts from this blog

Jawapanku buat Soalan Pertama

Kos Faedah dan Nilai

Aku bukan Teflon